Thursday, September 5, 2013

My life's story

GENGGAM BARA API
Suasana pagi ini sungguh menyejukkan. Sejuknya sampai ke tulang. Terasa sengal lutut aku ini. Sakit lama! Orang sukan katakan. Cedera begini dianggap sedikit tapi derita yang dialami sungguh memeritkan. Ah! Setiap kali kesejukan, lutut aku sakit. Malas rasanya melayan kesakitan ini. Ada yang lebih sakit aku rasakan kini. Perasaan aku seperti kaca terlepas ke lantai. Hancur dan musnahlah harapan aku untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran. Keputusan sijil Pelajaran Malaysia yang baru beberapa bulan aku terima itulah yang membuatkan hati ini bernanah. Nanahnya kini berbau hanyir 
dan aku seperti tidak boleh hidup dalam keadaan yang menjelikkan.Ibu dan ayah seperti kecewa dengan kegagalan aku untuk cemerlang dalam semua matapelajaran. Kalau mereka kecewa, aku lebih lagi. Mahu rasanya aku terjun dari Menara Kuala Lumpur. Aku tiba-tiba mengucap panjang. Bercakap seperti tidak beriman. Aku perlu melihat hikmah di sebalik kejadian ini. Kalau hendak dibandingkan dengan rakan-rakan sekampung. Keputusan aku bukan yang terburuk. Namun aku tetap rasa terkilan.
Baru hendak melelapkan mata. Nada pesanan ringkas di telefon bimbit membuatkan aku tiba-tiba segar dan spontan menekan butangnya.
“Syah, keputusan dah keluar. Tahniah!,” +0125016588.
Berderau darah aku. Naik sampai ke kepala. Benarkah? Jika benar, aku perlu segera memastikannya. Sekurang-kurangnya, kedukaan yang ditanggung selama ini akan reda dengan berita gembira kali ini. Ibu akan menjadi orang yang paling gembira.
“Mak lebih suka kalau Syah terima kerja itu. Kerja itu, kerja yang mulia,” ujar Ibu dengan penuh harapan.
Akupun mahu menggembirakan Ibu. Jauh sekali melukakan hatinya. Cukuplah dengan keputusan SPM yang kurang memuaskan itu. Aku mahu Ibu bangga dengan berita yang bakal diterimanya nanti. Bingkas aku bangun, segera aku bersiap untuk bertemu kawan-kawan yang telah memohon untuk menceburi kerjaya yang Ibu aku muliakan itu.
Sepuluh minit kemudian kami berkumpul di kafetaria. Semua yang hadir menunjukkan reaksi gembira tetapi ada juga yang agak sesal.
“Ala, aku dapat Perlis. Syah! Aku sedih la hang dapat Penang!” kawan aku meluahkan rasa susah hatinya.
Aku selamba sahaja tetapi dalam hati in, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Bercampur aduk. Gembira, sedih, suka, takut dan macam-macam. Ibu Ayah pasti gembira dengan berita ini. Aku sedih kerana berpisah dengan kawan baik. Aku suka dapat menggembirakan Ibu. Lebih takut bagi aku menghadapi situasi di tempat baru…… seram pula rasanya.
Dua minggu berlalu, aku seperti bermimpi. Minggu pengurusan pelajar, aku hadapi dengan berbagai cerita suka duka dan melucukan. Paling menarik, hari pertama ke kuliah sudah dikejar warden asrama. Mana tidaknya, aku terlewat bangun. Tercungap-cungap aku berlari. Hendak terputus nyawa dibuatnya. Sejak kejadian itu, aku belajar menyusun jadual agar aku bangun awal. Bukan mudah menjadi seorang guru. Sekali menyebut perkataan guru, aku pasti teringatkan Ibu. Itulah semangat yang sentiasa membara di dalam jiwa ini.
“Syah! Genggam bara api biar sampai menjadi arang,” ayah berpesan.
Aku sentiasa teringat pesanan ayah itu. Dalam setiap pekerjaan mesti berusaha bersungguh-sungguh. Aku berazam untuk menjadi guru yang dapat membina modal insan cemerlang.
Diam tidak diam, sudah hampir lapan bulan berada di Institut Pendidikan Guru ini. Aku dalam dilema. Mahu atau tidak aku kembali aktif dalam permainan hoki. Rasa serba salah. Kecederaan lutut yang dialami sakitnya hingga kini. Aku mengimbau kenangan zaman kegemilangan aku dalam permainan ini. Wakil negeri katakan. Namun cinta terhadap permainan inilah yang menyebabkan aku berjaya masuk ke IPG dalam jurusan Pendidikan Jasmani.
“Syah, ikut kami latihan hoki…, macam mana? Kira ok, ya?” rintih kawan-kawan aku.
Aku buntu. Aku memang serasi dengan permainan ini tapi aku bimbang tidak dapat menyumbang kepada pasukan. Kalau kecederaan yang dialami akan menyebabkan pasukan aku kalah, lagi aku sedih. Kawan-kawan akan kecewa. Aku tambah kecewa kerana kekalahan yang berpunca dari kecederaan lama aku ini.
Lewat petang aku ke padang hoki institut. Aku lihat seorang wanita bertudung sudah berdiri di tengah padang. Lagaknya seperti seorang jurulatih. Jika benar dia adalah jurulatih, inilah kali pertama aku mendapat khidmat jurulatih perempuan. Aku bergegas menemuinya.
“Mana yang lain? Awak datang untuk latihan pasukan hoki institut?” bertalu soalan daripadanya.
“Maaf, puan. Saya dapat maklumat latihan hoki pukul 5.30 petang. Memang be…nar saya datang ini untuk berlatih ho…ki,” tergagap aku menjawab soalannya.
Tidak lama kemudian, semua yang terlibat dengan latihan hoki pasukan institut pun hadir. Puan Suria memperkenalkan diri dan berkongsi pengalamannya sebagai bekas pemain hoki wanita negeri Perak. Aku kagum dengan semangat yang ada padanya. Mendapat latihan perguruan di Institut Perguruan Sultan Idris yang kini disebut Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 1987. Berkhidmat sebagai guru sekolah rendah selama 5 tahun dan mengajar di sekolah menengah selama 10 tahun. Kini berkhidmat sebagai pensyarah di institut ini hampir 2 tahun. Daripada guru bukan siswazah, Puan Suria melanjutkan pelajarannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Pendidikan. Pernah menjadi pengurus pasukan hoki wanita Universiti Malaya ketika dia membuat Sarjana Pendidikannya. Puan Suria juga merupakan pemain IPSI dari tahun 1987 hingga 1989. Dia juga bermain hoki untuk pasukan sekolahnya dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Selepas itu, dia bermain hoki untuk pasukan negeri Perak sebelum masuk ke IPSI. Aku terpegun melihat caranya bercakap, begitu jujur dan ikhlas dalam membimbing pasukan hoki institut. Masih terngiang kata-katanya pada sesi latihan yang pertama.
“Saya berharap anda semua dapat memberikan komitmen yang tinggi terhadap pasukan hoki ini. Saya percaya bahawa anda semua akan mencapai kejayaan sekiranya anda berusaha bersungguh-sungguh. Dalam apa jua kerja yang kita lakukan mesti dengan semangat dan keazaman yang tinggi. Ibarat genggam bara api…,” ucapan ringkas Puan Suria mengakhiri sesi latihan hari itu.
Sudah hampir 2 bulan menjalani kuliah dan latihan hoki yang padat. Aku seperti lipas kudung. Tidak sempat nak berehat. Lepas kuliah sahaja, sudah bersiap untuk latihan hoki. Latihan hoki pula tidak diadakan di padang institut. Puan Suria mahu pemain hoki membiasakan diri bermain di rumput buatan atau disebut ‘turf’. Ini kerana perlawanan hoki diadakan di padang ‘turf’. Hebat sungguh latihannya namun aku merasa kesakitan kerana kecederaan lutut yang sekian lama aku alami. Aku sengaja rahsiakan daripada Puan Suria. Aku takut nanti tidak tersenarai dalam pasukan hoki institut. Aku diberitahu oleh Kak Zainab tentang perlawanan persahabatan yang diatur dengan pasukan hoki daripada Institut Perguruan Sultan Abdul Halim. Dada aku tiba-tiba bergoncang, jantungku berdegup dengan pantas. Aku seolah-olah takut menghadapi pihak lawan. Dua hari kemudian, aku dan rakan-rakan sudah siap sedia untuk berlawan hoki dengan pasukan IPSAH. Perlawanan agak sengit, tiap kali pasukan Institut Perguruan Tuanku Bainun menjaringkan gol pasti dibalas semula dengan jaringan gol oleh IPSAH. Pada separuh masa kedua, aku tiba-tiba dirempuh oleh pihak lawan yang ghairah hendak menjaringkan gol. Perlawanan terpaksa dihentikan seketika. Aku tidak dapat menggerakkan kakiku. Ahhh! Lutut aku telah tercedera. Puan Suria menerpa ke arahku yang diusung keluar padang.
“Akasyah…! Awak ok? Kenapa ni? Sakit kat mana?” pucat muka Puan Suria melihat aku mengerang kesakitan.
Perlawanan berakhir dengan keputusan seri. Puan Suria membawa aku ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Sampai di kaunter pendaftaran, Puan Suria mengatakan bahawa dia ingin anaknya dirawat. Aku yang dipapah oleh dua rakanku, agak kebingunan mendengar pernyataan Puan Suria itu. Tetapi kesakitanku telah memintaku menangguhkan persoalan yang bermain di fikiran aku itu. Setelah mendapat rawatan, Puan Suria membawa aku pulang ke asrama.
“Maafkan saya, Akasyah. Saya kata kat orang klinik tu nak dapatkan rawatan untuk anak saya. Saya harap awak tak ambil hati. Saya berharap awak cepat sembuh dan dapat bermain semula untuk pasukan kita. Saya mengharapkan awak…,” menitis air mata Puan Suria ketika mengucapkan kata-kata itu.
Aku kelu. Tidak dapat bersuara. Tiba-tiba aku jadi sebak. Bergenang air mataku mendengar rintihan Puan Suria. Pada raut wajahnya jelas terpancar sifat keibuan. Dia sangat mengambil berat dan prihatin terhadap pelajarnya. Aku terharu.
Kini, saat yang ditunggu-tunggu telah tiba. Semua pasukan hoki di peringkat zon utara II berkumpul di Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa. Perlawanan dijalankan secara liga. Perlawanan pertama ialah pasukan IPTB menentang pasukan IPBA. Permainan yang lebih kepada memanaskan badan itu berakhir dengan keputusan tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan. Aku melihat Puan Suria resah dengan keputusan itu. Aku tahu Puan Suria mengharapkan kemenangan. Namun dia tetap tenang dan terus memberikan kata-kata semangat. Perlawanan seterusnya antara IPTB dengan IPIP. Dalam perlawanan ini, pasukan IPTB menunjukkan penguasaannya di padang. Puan Suria sentiasa memberikan perhatian kepada percaturan pasukannya. Aku sering disergah olehnya apabila leka di padang. Namun keprihatinannya membuatkan aku bersemangat. Menghampakan harapannya sama seperti menghampakan harapan ibu aku sendiri. Namun, sekali lagi keputusan berakhir dengan masing-masing pasukan tidak menjaringkan gol. Aku lihat sendiri, betapa kecewanya Puan Suria. Tetapi apabila dia memberikan taklimat kepada pemain, begitu professional sekali. Kekecewaan itu hanya ada di dalam hatinya.
“Dengar semua…! Kita seri dalam 2 perlawanan. Ini bermakna kita dapat 2 mata. Saya berharap anda semua bertafakur sebentar dan sama-sama tenangkan hati dan lapangkan fikiran. Fokus kepada permainan dengan IPBMM. Saya yakin anda boleh menang kali ini,” Puan Suria bersungguh memberikan motivasi kepada kami.
Aku tiba-tiba teruja. Mahu aku kalahkan pasukan tersebut dengan segera. Agar boleh pulang dengan kemenangan. Walaupun kecederaan lutut aku masih belum sembuh sepenuhnya namun Puan Suria mendorong aku untuk bermain bermati-matian. Perlawanan dengan IPBMM amat menarik kerana ia merupakan perlawanan penentuan. Mana-mana pasukan yang menang mahupun kalah akan mendapat kedudukan dalam perlawanan hoki tersebut. Sekurang-kurangnya Naib Johan Kumpulan Zon Utara II.
Perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. Aku kehabisan tenaga. Kaki aku terasa lemah. Lutut aku sakit. Aku tiba-tiba hilang fokus. Kepala aku juga turut sakit. Bagaimanakah aku hendak teruskan bermain dalam keadaan ini? Puan Suria pasti akan rehatkan aku kalau dia tahu aku tidak mampu untuk bermain lagi. Perlawanan separuh masa kedua amat menggerunkan aku. Mana tidaknya pasukan IPTB sering diserang pihak lawan. Berkali-kali aku berjaya menepis bola keluar. Namun kali ini aku longlai. Pihak lawan mengasak bertubi-tubi. Aku cuba juga menahan serangan lawan. Pada waktu kecederaan, penyerang lawan dengan pantas mengelecek bola di kawasan D dan cuba menjaringkan gol. Aku dengan pantas mengejar dan cuba menepis bola. Tiba-tiba, aku hilang pertimbangan lalu terjatuh. Aku sempat menghulurkan kayu hoki dalam keadaan terbaring untuk menghalang jaringan. Pandanganku menjadi gelap. Telinga aku mendengar bunyi wisel. Aku pitam!
Aku rasakan seperti bermimpi. Dalam mimpi aku itu, ada seorang wanita yang memakai pakaian serba putih datang menghampiriku. Dia seolah-olah hendak mengalungkan sesuatu di leher aku…
“Akasyah....! Akasyah…!” lembut sahaja suara yang menyebut nama aku. Aku tersentak melihat persekitaran bilik tempat aku berbaring. Puan Suria pula spontan mengalungkan pingat ke leherku. Kawan-kawan semua bertepuk tangan sambil bersorak.
“Tahniah, kita berjaya juga akhirnya…,”Puan Suria berjabat tangan dengan aku, lalu mencium pipi aku.
Aku tersipu-sipu malu. Merah pipiku. Aku bangga kerana telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan ini. Aku ingat pesan ibu, ayah dan Puan Suria tentang pepatah Melayu yang berbunyi ‘Genggam Bara Api Biarlah Sampai Menjadi Arang’
Hak Milik Terpelihara : Hayat Suria
Posted by Dendang Perantau at 8:14 PM 1 comment: 
Newer Posts Home
Subscribe to: Posts (Atom)


Sent from my iPad

No comments:

Post a Comment